Dilema pindah naik foto anak di laman sosial

Kasih Juju


Seorang lelaki ditahan selepas didakwa menghantar e-mel gambar lucah seorang bayi berusia tiga bulan kepada penerima di England.

Nasib baik, lelaki terbabit ditahan atas tuduhan menghasilkan pornografi kanak-kanak bawah umur.
Lebih teruk, data di dalam gambar berkenaan menunjukkan ia diambil di kawasan rumah lelaki berkenaan.



Di samping itu, hasil pemeriksaan terhadap rumah berkenaan, polis mendapati kanak-kanak terbabit ada hubungan persaudaraan dengan suspek.

Menurut seorang pegawai Keselamatan Dalam Negeri, bayi itu mangsa pornografi kanak-kanak paling muda dikenal pasti di kawasan Los Angeles, Amerika Syarikat malah mungkin juga di dunia.



Cerita terbabit mungkin berlaku di luar Malaysia, tetapi dengan teknologi yang berkembang pesat, industri pornografi seakan-akan sukar untuk dihalang.

Di negara maju seperti Jepun, kes pornografi kanak-kanak sering menyaksikan peningkatan angka dari tahun ke tahun yang membimbangkan.



Jepun dianggap menjadi sumber kegiatan pornografi kanak-kanak di dunia kerana undang-undang Jepun hanya melarang pengeluaran dan pengedaran bahan berkenaan, tetapi tidak hak milikan.

Kumpulan hak asasi manusia di Jepun membantah keras kegiatan pornografi kanak-kanak kerana mangsa yang terbabit terpaksa melalui kehidupan penuh trauma dan memalukan sepanjang hidup mereka.

Kaji selidik juga menunjukkan Internet menjadi medium utama dalam kegiatan pornografi kanak-kanak.

Lebih memilukan, kes pelakon dan pengarah Harith Iskander Musa, 48, apabila gambar dia dan anak sulungnya, Zander Xayne Iskander, 3, dipaparkan dalam sebuah laman web lucah hingga menarik perhatian umum, minggu lalu.

Turut menjadi mangsa pengendali laman web tidak bertanggungjawab itu ialah pelakon Erra Fazira, 41, dan penyanyi Tomok, 31, apabila gambar anak mereka turut dipaparkan.

Kejadian yang berlaku menunjukkan Malaysia juga tidak terkecuali daripada perangai buruk pedofil yang menjadikan Internet sumber ‘makanan’ mereka.

Tanpa disedari, rupa-rupanya ada gambar anak kesayangan kita yang menjadi ‘lauk’ golongan pedofil di Internet.

Di Malaysia, Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Ahmad Izham Omar memaklumkan, menurut Seksyen 6 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kandungan yang dikongsikan hadir dalam pelbagai bentuk sama ada bunyi-bunyian, tulisan, gambar, video atau sesuatu persembahan.

Beliau berkata, kandungan itu juga boleh dihasilkan, dimanipulasi, disimpan, dijejaki atau dihubungkan oleh individu.

Golongan generasi Y dan Z yang kerap menggunakan Internet dan terdedah kepada pornografi kanak-kanak mesti belajar dan dididik untuk tidak terjebak dengan kegiatan tidak sihat di laman media begini kerana mereka adalah pemimpin negara pada masa depan.

Kes pelajar pintar Matematik, Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, yang dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah United Kingdom (UK) kerana memiliki lebih 30,000 video dan gambar pornografi kanak-kanak yang didakwa sebagai antara yang paling melampau seharusnya menjadi pe­ngajaran bagaimana Internet disalah guna untuk melampias nafsu melampau terhadap kanak-kanak.

Fantasi yang menjijikkan itu sudah pasti membuka mata ramai pihak betapa pornografi kanak-kanak di Internet itu serius.

Dalam laporan Berita Harian, Perunding Keibubapaan Positif, Parent Connect Consultancy, Noor Afidah Abu Bakar, berkata kebanyakan orang tahu mengenai perbuatan merogol kanak-kanak, tetapi tidak mengetahui mengenai kewujudan pedofilia.

Ini katanya, menyebab­kan ramai ‘tidak kisah’ berkongsi gambar anak di Internet hingga berasakan perbuatan itu normal, sedangkan mereka seharusnya peka terhadap pelbagai kemungkinan negatif terhadap masa depan anak.

“Pedofilia adalah perlakuan kejam luar batas, yang mana perbuatan keji itu dibina secara sedikit demi sedikit. Saya percaya ia banyak berpunca daripada tabiat gemar menonton bahan lucah. Mereka memperoleh kepuasan dari segi seksual.

“Tidak banyak kajian mengenai pedofilia kerana pelakuan mereka tidak begitu jelas. Mereka mungkin pernah mendukung anak kecil kita yang dipuji comel, dia mungkin adalah kawan Facebook kita, pe­ngawal keselamatan di apartmen kita, pekerja awam dan swasta atau dalam kala­ngan saudara-mara,” kata­nya.

Bagaimana untuk memantau sekiranya gambar anak kesayangan anda berada di Internet pada laman yang tidak sepatutnya.

Sebuah portal tempatan, theskop.com memberi tip berikut:

1. Buat carian mengggunakan nama anda.

Tidak kira sama ada guna nama betul atau nama sebenar mahupun kedua-duanya, hasil carian perlu menentukan sekiranya anda sendiri yang memindah naik atau orang lain yang melakukannya. Anda boleh gunakan Yahoo!, Google, Bing atau enjin meta search seperti Dogpile.com.

2. Buat carian menggunakan Google Image Search.

Hasil carian menggunakan nama saja kadang-kadang nampak biasa, tapi cuba klik pada tab Image Google Search dan mungkin anda akan terserempak dengan gambar anda pada pautan yang tidak ingin anda lihat. Bagi lebih berkesan, pindah naik gambar anda dan biar Google Image Search semak sama ada muka anda berada di laman web yang tidak pernah anda gunakan.

3. Cari diri sendiri di Pipl.comLaman web www.

Pipl.com menggunakan teknik ‘deep search’ khas untuk mencari individu, personaliti mahupun orang perseorangan di laman web lain. Taip nama anda dalam kotak carian (search box) dan anda akan mendapat hasil carian seperti pautan dan gambar.

4. Cari gambar anda di TinEye.com.

Laman web TinEye mengkhusus dalam pencarian imej berdasarkan imej contoh yang dipindah naik pengguna. Layari www.tineye.com, pindah naik satu contoh gambar anda dan biarkan algoritma TinEye melayari alam siber ini untuk memastikan gambar anda tidak digunakan oleh mana-mana laman yang tidak berkenaan.

5. Guna Google Alerts.

Mungkin sekarang gambar anda tidak digunakan oleh mana-mana laman yang mengerikan, namun jika anda masih suka memindah naik gambar di laman sosial, mung­kin terdapat gambar selfie anda yang digunakan. Gunakan Google Alerts (www.google.com/alerts) yang memaklumkan kepada anda jika gambar atau nama dipindah naik di mana-mana laman web. Buatlah alerts untuk nama penuh, nama panggilan dan kata kunci yang selalu anda gunakan untuk menggambarkan diri anda.

Tags