OTTAWA 9 Mei - Adakah anda selalu mengambil gambar makan yang dihidang atau dimasak dan memasukkan foto tersebut ke dalam laman sosial atau internet?
Jika selalu, anda mungkin mengalami masalah psikologi kerana satu kajian pakar mendapati, kecenderungan individu mengambil dan menyiarkan gambar makanan mereka disifatkan sebagai 'sakit mental'.
Ketua Psikiatri Hospital Kolej Wanita di Universiti Toronto, Dr. Valerie Taylor berkata, kegilaan orang ramai berbuat demikian bukan sahaja satu perkara yang menjengkelkan, malah petanda bagi masalah psikologi.
"Saya melihat beberapa klien yang obses dengan makanan mereka.
"Mereka tidak mahu keluar bersosial secara normal dan menjadikan makanan sebagai teman sosial dengan memaparkan apa mereka makan, bila mereka makan dan melakukan perkara yang sama berulang kali," jelasnya.
Kegilaan menyiarkan gambar makanan atau dikenali sebagai "foodstagramming" merupakan trend mengambil gambar makanan dan memuat naik foto itu ke dalam Instagram atau Twitter.
Tabiat tersebut menjadi sangat popular sehingga menyebabkan sesetengah restoran tidak membenarkan pelanggan meraka mengambil gambar makanan yang disediakan atas sebab cahaya kamera dan tindakan itu boleh mengganggu pelanggan lain.
Januari lalu, tukang masak terkemuka New York, David Bouley melarang pelanggan mengambil gambar makanan di dalam restorannya.
Dalam Sidang Kemuncak Obesiti Kanada di Vancouver pada minggu lalu, Taylor menjelaskan tentang gangguan pemakanan dan peranan makanan dalam kebudayaan dan kehidupan moden.
"Trend foodstagramming yang berleluasa ketika ini sangat membimbangkan.
"Kita sepatutnya mengambil gambar yang penting dan bermakna untuk diri kita, namun bagi segelintir orang, makanan menjadi perkara utama buat mereka sehingga menjadi obses," jelasnya.
Taylor turut menegaskan penyiaran banyak gambar makanan memberi kesan buruk terhadap orang ramai dan boleh menaikkan berat badan.
Kenyataan itu dikaitkan dengan kajian Universiti Southern Carlifornia pada tahun lalu yang menunjukkan orang ramai yang meluangkan masa melihat gambar makanan secara dalam talian akan mempengaruhi otak dan menyebabkan mereka makan terlalu banyak. - AGENSI
Source - Utusan Malaysia - Jumaat 10 Mei 2013.
Picture Source : Google image |