Kadar Bayaran Zakat Fitrah 2018

Kasih Juju

Apa Itu Zakat Fitrah ?
Zakat fitrah pada istilahnya ialah sedekah yang wajib dikeluarkan selepas berbuka untuk beraya dan selesainya Ramadan. Perintah menunaikan Zakat Fitrah bermula pada tahun kedua Hijrah, iaitu tahun diwajibkan puasa pada bulan Ramadhan untuk mensucikan orang Islam yang berpuasa dari kata-kata dan perbuatan yang tidak berguna. Zakat Fitrah juga untuk memberi makanan kepada orang-orang miskin dan mencukupkan keperluan dan permintaannya pada Hari Raya 1 Syawal (Aidilfitri).

DALIL ZAKAT FITRAH
Zakat Fitrah berbeza dari zakat harta kerana ia merupakan kewajipan ke atas individu-individu, sedangkan zakat harta merupakan kewajipan kepada harta-harta yang dimiliki. Oleh sebab itu, tidak disyaratkan pada zakat fitrah seperti apa yang disyaratkan pada zakat harta, seperti nisab, haul dan sebagainya. Sabda Rasulullah SAW dari Ibn Umar yang bermaksud:

“Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum, pada hamba sahaya, orang yang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang dewasa dari kaum Muslimin” (HR  Bukhari)

Ucapan Rasulullah SAW “kanak-kanak dan orang dewasa” menunjukkan bahawa Zakat Fitrah itu wajib bagi anak kecil, diambil dari hartanya apabila ia memiliki harta, lalu dikeluarkan oleh walinya, seperti halnya dalam zakat harta. Apabila ia tidak memliki harta, maka zakat fitrahnya wajib bagi orang yang memberikan nafkah kepadanya. Pendapat ini dipegang oleh Jumhur Ulama.

Fatwa Zakat Fitrah
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada 23 Oct 2003 telah membincangkan tentang Zakat Fitrah. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum zakat fitrah adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah iaitu:
  • Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  • Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  • Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya
  • Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan

WAKTU MEMBAYAR ZAKAT FITRAH
  • Waktu Wajib: Mazhab Syafie mengikut yang azhar dan Hanbali berpendapat bahawa waktu wajib zakat fitrah bermula dengan tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan (malam Raya). Ia juga pendapat sebahagian Mazhab Maliki.
  • Waktu Sunat: Mazhab Syafie berpendapat sunat dikeluarkannya sebelum solat hari raya dan makruh mentakhirkannya sehingga selesai solat.
  • Waktu Haram: Al-Hasan bin Ziyad dari ulama Hanafi berpendapat waktu menunaikannya bersifat setempat dan terhad seperti hari korban. Justeru siapa yang menunaikannya selepas hari raya tanpa uzur, ia dianggap sebagai berdosa. Pendapat ini juga adalah pendapat Mazhab Maliki, Syafie, dan Hanbali. Tetapi tetap wajib ditunaikan segera zakat fitrah dan pada waktu itu ia dikira sedekah. Sekiranya masih dilengahkan, maka akan bertambahlah dosanya.

DI MANA ZAKAT FITRAH PERLU DIBAYAR
Zakat fitrah wajib dibayar berdasarkan kepada di mana seseorang itu berada ketika masuknya waktu wajib untuk zakat fitrah iaitu bermula pada malam hari raya sehingga sampai sebelum solat hari raya. Walaupun begitu, melihat kepada realiti semasa, dengan melihat pendapat ihtiyat iaitu mengawalkan sedikit masa pembayaran sama ada sehari atau dua hari mengikut apa yang dilakukan oleh para sahabat.

Justeru jika ketika itu kita masih berada di tempat kerja dan belum pulang ke kampung, lebih elok baginya untuk dibayar di tempat kerjanya kerana ia bersifat yakin dan tahqiq sedangkan kepulangannya ke kampung masih lagi dalam bentuk sangkaan dzan yang mungkin tidak berlaku.

Begitu juga dengan pembayaran awal boleh menyelesaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan bukan dalam bentuk tergopoh gapah atau mungkin berlaku sebarang halangan yang menyebabkan terlepasnya daripada menunaikan zakat fitrah pada waktu wajibnya.

KADAR ZAKAT FITRAH
Asal kadar zakat fitrah adalah satu sha’ (gantang) dan nilainya seperti yang dinyatakan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya Fiqh al-Islami wa Adillatuh iaitu 2.751 kg. Dan di sisi mazhab Hanafi ialah 3.8 kg.

Fatwa Kadar Zakat Fitrah
Dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-57 bertarikh 10 Jun 2003 seperti berikut:
  • Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat oleh BERNAS bagi setiap beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60 kg.
  • Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg.

Menjelang Ramadan, Jawatankuasa Syariah atau Fatwa Negeri akan memutuskan nilai harga beras semasa mengikut daerah atau jenis dan gred beras yang dimakan oleh penduduk. Kemudian diputuskan dengan mengambil kira nilaian sebanyak segantang beras iaitu hampir kepada 2.60 kg.