PERMULAAN MONSUN TIMUR LAUT 2019/2020

Kasih Juju
Monsoon
PERMULAAN MONSUN TIMUR LAUT 2019/2020
Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 24 Oktober 2019 sehingga Mac 2020. Dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.

Semasa fasa awal Monsun Timur Laut iaitu sehingga awal Januari 2020, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Manakala pada awal Januari dan Februari 2020, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Sarawak serta Sabah.

Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir. Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk. Selain itu, tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan nasihat/amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan. Orang ramai boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Ketua Pengarah
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia)
Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim
(MESTECC)
(Sumber: MET Malaysia)

Maklumat lanjut:
Laman web rasmi: www.met.gov.my
FB: @malaysiamet
IG: metmalaysia