Bendera Malaysia : Maksud Warna dan Lambang

Kasih Juju
Bila sebut pasal bendera Malaysia, mesti dah terbayang dalam kepala betapa gahnya bendera Malaysia ini berkibar di bangunan-bangunan sekolah, pejabat-pejabat kerajaan dan pelbagai premis lagi. Tapi adakah kita faham maksud yang tersurat dan tersirat di sebalik gahnya bendera Malaysia yang berkibar tu? Jom kita rungkai.

bendera malaysia

Sejarah

Bendera adalah lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat, kekuasaan dan kedaulatan bagi sesebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air. 

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, bendera didefinisikan sebagai sepotong kain (lazimnya segi empat bujur) yang ada reka bentuk tertentu, digunakan sebagai lambang sesebuah negeri atau sebagai isyarat mahupun panji-panji.


Selepas 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada hari kemerdekaan negara yang ke-40 pada tahun 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama ini diusulkan pegawai daripada Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu pertandingan membabitkan pihak-pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan nama antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

Maksud Jalur Gemilang

  • JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.
  • GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

Maksud Warna Jalur Gemilang

Setiap warna yang ada dekat bendera Malaysia atau Jalur Gemilang ini mempunyai maksudnya yang tersendiri.

1) Biru 

Lambang perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain .

2) Merah 

Menunjukkan keberanian dan kesediaan dalam mengharungi segala jenis cabaran demi negara yang tercinta.

3) Putih 

Menjadi lambang kesucian serta keluhuran hati masyarakat.

4) Kuning 

Warna Di Raja yang khusus melambangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang Berperlembagaan.

Maksud Lambang

1) Bulan Sabit

Menunjukkan Agama Islam sebagai agama persekutuan dan negara 

2) Bintang 14 Bucu

Menggambarkan perpaduan 13 buah negeri dan 1 wilayah persekutuan 

3) 14 Jalur 

14 Jalur menunjukkan 13 buah negeri (Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak) dan satu wilayah persekutuan (WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya dan WP Labuan) sebagai anggota di bawah kerajaan Persekutuan Malaysia.

Infografik Bendera Malaysia


Lirik Lagu Jalur Gemilang

Ketika "Jalur Gemilang" dinamakan, lagu khas untuknya turut dibuat untuk meraikan dan memperingati bendera Malaysia dengan nama Jalur Gemilang, identiti dan kemegahan yang telah dibawa bersama telah rasmi dilancarkan pada tarikh 9 Ogos 2003.

Merahmu bara semangat waja
Putihmu bersih budi pekerti
Kuning berdaulat payung negara
Biru perpaduan kami semua

Puncak dunia telah kau tawan
Lautan luas telah kau redah
Membawa semangat jiwa Merdeka
Semangat jaya kami warganya

Empat belas melintang jalurnya
Semua negeri dalam Malaysia
Satu suara satu semangat
Itu sumpah warga berdaulat

Jalur Gemilang dibawah naunganmu
Jalur Gemilang kami semua bersatu
Perpaduan ketaatan
Amalan murni rakyat Malaysia

Jalur Gemilang megah kami terasa
Jalur Gemilang kibarkanlah wawasan
Merah, putih, biru, kuning
Jalur semangat kami semua

Berkibarlah, berkibarlah, berkibarlah
Jalur Gemilang

Ciptaan dan seni kata: Pak Ngah & Siso Kopratasa

Apa Hukuman Denda Pasang Bendera Terbalik

Menurut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, memasang bendera secara terbalik merupakan antara salah satu perbuatan menghina bendera dan akan dikenakan denda sebanyak RM20,000 atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Penutup

Semoga perkongsian Juju ini akan dapat menaikkan lagi semangat cintakan negara. Bila kita kenal negara kita barulah orang lain tak boleh nak menjajah pemikiran kita. Semat dan pahat dalam hati. Ini tanah air kita!

Rumusan Dari: