Daun Kari : 11 Kelebihan dan Khasiatnya

Kasih Juju
Para suri rumahtangga mesti dah kenal dengan daun kari ni kan. Boleh dikatakan salah satu bahan yang wajib ada dekat rumah. Lebih-lebih lagi kalau nak masak kari. Daun kari ni wajib ada dalam masakan. Barulah wangi masakan kita tu nanti.

Daun kari

Pengenalan

Pokok Kari atau nama saintifiknya Murraya Koenigii tergolong dalam keluarga Rutaceae. Pokok Kari ialah sejenis pokok renek dengan ketinggian antara 0.9 hingga 6 meter.

Daun ini mempunyai banyak kegunaan bagi masyarakat India kerana ia bukan sahaja digunakan dalam masakan kari, malah dalam masakan lain seperti rasam, chutney, muruku dan sebagainya.

Cara Tanam Pokok Kari

Juju akui memang agak sukar juga nak tanam pokok kari ni memandangkan ianya perlukan air yang banyak. Pernah sekali Juju tanam dalam cawan dengan air yang bersesuaian. Mulanya menjadi sebab keluar pucuk baru. Tapi bila Juju pindahkan ke tanah sayangnya pokok ini mati. Penyudahnya Juju beli je benih dekat pasar malam. Kebetulan ada yang jual benih pokok kari ni. Alhamdulillah subur hingga ke hari ini.

Tipsnya kena rajin semburkan racun penghalau serangga seperti Milagro. Sebab ada serangga yang suka makan daun kari ni. Once pokok ni dah nampak sihat dan subur, bolehlah jaga seperti biasa. Kena rajin juga cantas bahagian atas. Nanti akan tumbuh pucuk yang baru.

Tumbuhan ini agak lasak walaupun sebenarnya ia menyukai tanah yang subur dan kaya dengan mineral. Bunganya kecil berwarna putih kekuningan dan buahnya juga kecil berwarna hijau ketika muda dan ungu setelah matang. Ia membiak melalui biji benih, keratan batang dan anak yang tumbuh dari akarnya. Selain ditanam di halaman rumah ia juga ditanam sebagai tumbuhan hiasan.

11 Khasiat Daun Kari

1. Mencegah penyakit jantung

Daun kari mempunyai kandungan antioksida yang tinggi. Sifat ini dapat mencegah proses pengoksidaan kolesterol yang akan membentuk kolesterol LDL, atau lebih mudah dikenali sebagai ‘kolesterol buruk’. Seterusnya, kadar ‘kolesterol baik’ (kolesterol HDL) dapat ditingkatkan lantas menurunkan risiko beban penyakit seperti strok dan serangan jantung. Selain mengawal paras kolesterol, daun kari juga berpotensi menghalang pengumpulan lemak dan keradangan (faktor risiko penyakit jantung).

*Kolesterol HDL (baik) mengeluarkan kolesterol dari salur darah dan membawanya kembali ke organ hati.

*Kolesterol LDL (buruk) cenderung untuk melekat pada dinding salur darah dan menjadikannya sempit/tersumbat.

Daun kari

2. Mengawal paras gula dalam darah

Kajian yang dijalankan terhadap pesakit kencing manis mendapati daun kari mempunyai kandungan kimia yang boleh menurunkan paras gula dalam darah. Kebaikan ini dipercayai terhasil daripada fungsi daun kari dalam meningkatkan penghasilan insulin serta menjadikan kadar pengambilan glukosa dari dalam darah oleh sel badan semakin tinggi. Melalui kebaikan ini, risiko komplikasi diabetes seperti masalah buah pinggang juga dapat dikurangkan.

Baca sini: daun kesum

3. Melindungi organ hati

Di dalam tubuh badan manusia, hati berfungsi sebagai tempat untuk meneutralkan toksik. Dalam bahasa yang mudah, bahan toksik (seperti yang berasal daripada ubat-ubatan) akan dibawa ke hati terlebih dahulu untuk dineutralkan sebelum disingkirkan melalui air kencing. 

Daun kari berpotensi untuk melindungi hati daripada toksik terutamanya dalam tubuh individu yang sering mengambil minuman beralkohol. Ia mengekalkan paras antioksida dan menguatkan sel dalam hati.

4. Antibakteria

Minyak pati (essential oil) daripada daun kari mampu menghalang pertumbuhan bakteria. Kesan antibakteria daun kari ini masih kuat walaupun pada kadar kepekatan yang rendah. Selain itu, ia juga mampu mencegah pertumbuhan kulat.

5. Anti Penuaan

Penyakit Alzheimer adalah gangguan progresif yang mengakibatkan fungsi sel-sel otak merosot. Ekstrak daun kari didapati berpotensi untuk meningkatkan kesihatan saraf otak kerana sifatnya yang menghalang proses pengoksidaan. Di samping itu, kajian terhadap model haiwan pula mendapati daun kari menambah baik fungsi kognitif berikutan peningkatan skor daya ingatan.

6. Membantu penghadaman

Daun kari dengan kandungan serat yang tinggi dapat mencegah masalah penghadaman seperti sembelit, cirit-birit, mual, serta kembung perut. Satu sudu makan serbuk kari mengandungi 1.2 gram serat, lebih kurang bersamaan dengan kandungan serat dalam sebatang lobak merah.

7. Mencegah anemia (kekurangan darah merah)

Salah satu punca kepada masalah anemia ialah kekurangan zat besi yang berfungsi untuk menghasilkan hemoglobin di dalam darah. Daun kari kaya dengan kandungan mineral ini dan dapat membantu meningkatkan jumlah sel darah merah.

Kandungan zat besi dalam satu sudu makan serbuk kari bersamaan dengan nilai zat besi dalam satu cawan sayur bayam, iaitu salah satu sayuran yang menjadi pilihan terbaik untuk mencegah masalah kurang sel darah merah.

8. Mencegah kanser

Seperti tumbuh-tumbuhan yang lain, daun kari juga kaya dengan kandungan bahan biologi aktif yang dapat memberi manfaat kepada tubuh badan. Kesan antioksida daun kari didapati berpotensi untuk mengurangkan risiko kanser payudara. Selain itu, ekstraknya juga mempunyai keupayaan untuk mengurangkan kadar neoplasma dalam usus besar.

*Neoplasma: Pertumbuhan tisu yang tidak normal dan berlebihan, mengakibatkan ketumbuhan dan kanser.

9. Mengurangkan kesan sampingan kemoterapi

Rawatan anti-kanser seperti kemoterapi mempunyai beberapa kesan sampingan. Sebagai contoh, pesakit mungkin akan mengalami loya dan muntah, keletihan serta radang mulut. Ekstrak daun kari didapati dapat mengurangkan risiko kesan-kesan sampingan ini. Selain itu, daun kari juga berupaya melindungi kromosom (molekul DNA) daripada sebarang kerosakan dan menghentikan penghasilan radikal bebas dalam badan.

10. Membantu penyembuhan luka

Proses penyembuhan luka adalah rumit dan melibatkan banyak proses biokimia dan proses lain di peringkat sel. Melalui kajian ke atas model haiwan, daun kari berupaya meningkatkan regangan luka dan merangsang penghasilan kolagen. Hal ini membantu luka untuk sembuh dengan lebih baik dan cepat.

11. Meningkatkan kesihatan rambut

Pati daun kari di dalam minyak kelapa berpotensi menguatkan akar rambut. Ia seterusnya melewatkan proses rambut memutih menjadi uban di samping merangsang pertumbuhan rambut.  Selain itu, kekayaan nilai antioksida dalam daun kari turut membantu mencegah keguguran rambut dan kelemumur.

Rumusan

Daun kari

Sebenarnya ada banyak lagi kebaikan daun kari. Semuanya baik untuk kesihatan. Macam tu juga dengan resepi. Ada resepi udang buttermilk, ayam goreng ala mamak dan ada juga yang masak cornflake dengan daun kari. Sedap tau cornflake tu. Ralit makannya. Sedar-sedar dah habis.

Rujukan: