Siapa dekat sini selalu mengabaikan doa lepas solat? Ha baik korang mengaku. Adakalanya Juju sendiri pun doa seringkas yang boleh. Lagi-lagi kalau solat dekat pejabat. Laju je nak cepat siap. Agaknya nanti Allah pun laju je nak hisab amalan Juju yek. SubhanAllah. Sebelum kita terpesong lebih jauh, sebaiknya kita belajar sama-sama.
Pengenalan
Dari kecil lagi kita dah diajar untuk berdoa dalam setiap perkara. Contohnya seperti doa sebelum makan, doa selepas makan, doa sebelum tidur, doa sebelum masuk bilik air dan tak terkecuali juga doa lepas solat.
Kelebihan doa lepas solat
Abu Umamah berkata bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai apakah doa yang paling didengari. Rasulullah SAW menjawab:
“(Doa yang paling didengari ialah) ketika satu pertiga malam yang terakhir dan ketika selesai solat fardu.”(HR al-Tirmizi)
Terdapat juga hadis iaitu HR Abu Daud yang menyatakan:
” Jika salah seorang dari kalian selesai menunaikan solat maka mulakanlah (doa selepas solat) dengan mengagungkan dan memuji Allah SWT. Kemudian berselawat ke atas Nabi dan barulah berdoa selepas itu apa yang dia ingini.”
Selain dari hadis di atas, terdapat juga ayat dalam Al-Quran yang menyatakan kelebihan berdoa iaitu:
Allah swt berfirman:وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْMaksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.(Surah Ghafir: 60)
Hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa doa merupakan senjata yang amat kuat bagi umat Islam. Kita boleh berdoa pada bila-bila masa sahaja untuk memohon petunjuk dan perlindungan dari Allah SWT.
Doa lepas solat dalam jawi
Doa lepas solat dalam rumi
Bismillahirrahmanirrahim,
alhamdulillahi robbil ‘alamin,
wassolatu wassalam ‘ala saiyyidil mursalin wa imamil muttaqin,
wa ‘ala alihi ahli baitihi wasohbihi ajmain.
Allahumma inna nas aluka salamatan fiddin wa afiyatan fil jasad,
wa ziyadatan fil ilmi wabarakatan fil rizki,
watau batan qoblal maut
warahmatan indal maut,
wa magfiratan ba’dal maut.
Allahumma hauwin alaina fil sakaratil maut,
wannaja ti minannar wa afwa indal hisab.
Rabbana laa tuzig kulubana ba’ da iz hadaitana wa hablana min ladunka rahmah,
innaka antal wahhab.
Allahhuma ahyina bil imaan,
wa amitna bil imaan,
wa adkhilnal-jannata ma’al imaan.
Allahumagfirlana zunubana waliwa-lidaina war hamhumma kama robbayana soghri-ro.
Allahummahtim lana bi husnil-khotimah,
wala tahtim alaina bi suu-il-khotimah.
Rabbana atina fiddunya hasanatan,
wafil-a-khiroti hasanatan wakina azab-bannar.
Wassalallhu ‘ala saiyidina muhammadin wa ala alihi wa sohbihi wassalam,
walhamdulillahi robbil alamin.
Maksud doa
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas penghulu para rasul dan ikutan orang-orang bertakwa (Nabi Muhammad), serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya.
Ya Allah! sesungguhnya kami memohon kepadaMu keselamatan pada agama, kesihatan jasad, ditambah ilmu pengetahuan, keberkatan rezeki, taubat sebelum mati, rahmat ketika mati dan keampunan setelah mati. Ya Allah! Ringankanlah ke atas kami semasa sakaratul maut, lepaskanlah daripada api neraka dan kemaafan semasa diadakan perhitungan (hisab).
Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah mana Engkau berikan petunjuk kepada kami. Berikanlah kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Maha Pemberi. Ya Allah! Hidupkanlah kami dengan iman dan matikanlah kami dengan iman, serta masukkanlah kami ke dalam syurga bersama-sama iman.
Ya Allah! Ampunilah segala dosa-dosa kami dan dosa-dosa kedua-dua ibu bapa kami. Kasihanilah kedua ibu bapa kami sebagaimana mereka berdua mengasihani kami semasa kami masih kecil. Ya Allah! Akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah kiranya Engkau akhirkan umur kami dengan kesudahan yang tidak baik. Wahai Tuhan kami, kurniakan kepada kami kebaikan di dunia dan juga di akhirat. Peliharalah kami daripada azab api neraka.
Semoga Allah mencucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas seluruh keluarga serta sahabat-sahabat baginda. Segala puji itu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh Alam.
Kesimpulan
Juju selalu pegang kata-kata janganlah sesekali kita memalingkan hati kita kepada Allah SWT. Selalu letakkan apa jua yang kita laksanakan atas muka bumi ini hanya kerana Allah SWT. Moga kita semua akan mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT. Insya Allah.
Rujukan: nadz.my