Solat Witir : Ketahui Cara Lafaz Niat dan Kelebihannya

Kasih Juju
solat witir

Bila sebut pasal solat witir selalunya Juju akan kaitkan dengan solat terawih. Yelah, selalu kita dengar lepas solat terawih kena buat solat witir 3 rakaat atau 1 rakaat. Juju pun sebelum ni kurang ambil maklum mengenai solat witir ni. Tapi setelah Juju membuat sedikit penggalian dan pembacaan barulah Juju faham maksud sebenar solat witir tu.

MAKSUD WITIR

Solat sunat Witir adalah solat yang didirikan sebagai pengakhiran atau penutup solat pada satu-satu hari tersebut. Contohnya kalau kita bangun malam untuk melakukan solat Tahajjud, solat Tarawih dan solat Hajat, penutupnya kita akan buat solat witir. Ini kerana Witir adalah solat pelengkap atau penutup yang tidak ada lagi solat lain selepasnya.

Solat ini boleh dilakukan samada 1 rakaat ataupun 11 rakaat. Bilangannya perlulah ganjil. Samada 1 rakaat, 3 rakaat, 5 rakaat, 7 rakaat, 9 rakaat ataupun 11 rakaat. Satu salam bagi setiap dua rakaat.

Hukum melakukan solat sunat Witir adalah sunat muakkad iaitu solat sunat yang amat dituntut. Solat ini sunat dilaksanakan secara berseorangan tetapi ketika di dalam bulan Ramadan, pelaksanaan solat ini dituntut secara berjemaah setelah selesai menyempurnakan Solat Sunat Terawih.

Rasulallah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT menganugerahkan kepada kamu solat yang lebih baik daripada bersedekah beberapa ekor unta yang sempurna dan baik iaitu solat witir - Hadis riwayat Al-Tirmidzi & Al-Hakim RA -

WAKTU SOLAT WITIR

Waktu yang sesuai untuk melaksanakan solat witir adalah selepas solat Isyak sehinggalah terbitnya fajar sadiq pada waktu subuh.  

Namun, bagi yang menjamakkan solat Isyak bersama Solat Maghrib secara jamak taqdim (Solat Isyak dalam Waktu Maghrib), maka dia boleh melakukan solat sunat Witir selepas solat jamak tersebut meskipun belum masuk waktu Isyak. Ini kerana syarat sah solat sunat Witir adalah dilaksanakan selepas solat Isyak.

Sunat melewatkan sembahyang Witir sebagai penutup bagi solat Tahajjud atau solat malam jika seseorang itu ingin melakukan Tahajjud sekalipun dia sudah tidur sebelum itu.

LAFAZ NIAT

Oleh kerana kita akan solat witir 3 rakaat dengan 2 salam, jadi kita akan niat sebanyak 2 kali. 

Lafaz niat 2 rakaat:
Usolli Sunnatal Witri Rak’ataini Lillahi Ta’ala

Lafaz dalam bahasa melayu
Sahaja aku solat sunat witir dua rakaat kerana Allah Taala


Lafaz niat 1 rakaat:

Usolli Sunnatal Witri Rak’atan Lillahi Ta’ala

Lafaz dalam bahasa melayu
Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat kerana Allah Taala

CARA MENGERJAKAN SOLAT WITIR

Selepas niat, bacalah surah Al-Fatihah dan diikuti dengan surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas.
Sebaik selesai tahiyyat dan salam, kita disunatkan untuk membaca: 
Subhaanal Malikil Quddus 

Kemudian bacalah surah Al-Fatihah dan wirid. Perbanyakkan istighfar dan memohon keampunan kepada Allah.

DOA SELEPAS SOLAT

Selepas menunaikan Solat Witir kita digalakkan untuk membaca salah satu daripada doa witir berikut:

Doa pilihan 1:
Allahumma Inni ‘Auzu Biridhoka Min Sakhotika Wa Bimu’Aafatika Min ‘Uqubatika Wa ‘Auzubika Minka Laa Uhsii Tsana’an ‘Alaika Anta Kama Atsnaita ‘Alaa Nafsika

Maksudnya:
Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, aku berlindung dengan kemaafanMu daripada BalasanMu, dan aku berlindung denganMu daripada tidak mampu memujiMu seperti Engkau memuji diriMu.

Doa pilihan 2:
“Allahumma innaa Nas’aluka iimaanan Daaimaan, wanas’aluka qalban khaasyi’an, wanas’aluka ‘ilman naafi’an, wanas ‘aluka yaqiinan shaadiqon, wanas ‘aluka ‘amalan shaalihan, wanas ‘aluka diinan Qayyiman, wanas ‘alukal ‘afwa wal’aafiyata, wanas ‘aluka tamaamal ‘aafiyati, wanas ‘alukash-syakra ‘alal ‘aafiyati, anas ‘alukal ghinaa’a ‘aninnaasi.

Allahumma RabbaNaa Taqabbal Minnaa SolaaTanaa WashiyaaManaa WaqiyaamaNaa Watakhusy-syu’anaa WataDhorru’Anaa wata’Abbadanaa Watammim Taqshiiranaa Yaa Allaahu Yaa Allaahu Yaa Allaahu Yaa Arhamar Raahimiin. Washallallaahu ‘alaa Sayyidina Muhammadin Wa ‘Alaa Aalihi Washahbihi Ajma’iina, Subhanaa Robbika Robbil ‘izzati amma yasifun, walhamdu lillaahi rabbil ‘Aalamiina.”

Maksudnya: 
“Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon daripada Engkau keimanan yang berkekalan. Kami memohon daripada Engkau hati yang khusyuk (teguh dan sebulat hati). Kami memohon daripada Engkau ilmu yang bermanfaat. Kami memohon daripada Engkau keyakinan yang benar. Kami memohon daripada Engkau amalan yang soleh (patut).

Kami memohon daripada Engkau agama yang berkualiti. Kami memohon daripada Engkau keampunan dan kesihatan. Kami memohon daripada Engkau kesihatan yang sepenuhnya. Kami memohon daripada Engkau rasa syukur ke atas kesihatan. Kami memohon daripada Engkau kekayaan. Ya Allah! Terimalah solat kami, puasa kami, solat malam kami, kekhusyu’an kami, kerendahan hati kami, ibadah kami.

Sempurnakanlah kelalaian atau kekurangan kami, Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Wahai Yang Paling Pengasih di antara yang mengasihani. Selawat dan salam sejahtera Allah ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabatnya. Maha Suci Tuhan yang Maha Mulia daripada sebarang kekurangan. Salam sejahtera ke atas para rasul dan segala puji hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam.”

KELEBIHAN SOLAT WITIR

1. Akan Disukai Oleh Allah SWT.

Allah menyukai hamba-hambanya yang sering melaksanakan solat sunat witir. Ia dapat dilihat bersadarkan sabda Rasulullah SAW.

“Sesungguhnya ALLAH itu witir (ganjil) dan DIA menyukai yang witir (ganjil).”
-Hadis Riwayat Tarmizi –

2. Dicatat Pahala Kepada Yang Mengamalkannya

Solat Sunat Witir ini menunjukkan bahawa pahala yang diperoleh adalah sama besar pahalanya dengan orang yang syahid. Ini kerana, Solat Sunat Witir ini merupakan solat sunat yang terkandung dalam wasiat Baginda sebagaimana Baginda pernah berpesan bahawa solat sunat witir terlebih dahulu sebelum berganjak ke tempat tidur.

Sebagaimana yang tercatat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Kekasihku yakni Rasulullah telah memberi wasiat kepadaku dengan tiga perkara agar aku tidak meninggalkan perkara tersebut sehingga mati iaitu berpuasa selama tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat sunat Duha dan tidur dalam keadaan sudah melakukan solat sunat Witir.
-Hadis Riwayat Al-Bukhari-

3. Menjadi Simbolik Kepada Umat Islam

Dengan mengamalkan solat sunat ini ia dapat menjadikan seseorang umat islam itu simbolik kepada amalan kepada sunnah Baginda. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

“Witir itu hak (benar). Barangsiapa yang tidak berwitir ia bukan dari golongan kita!”. –Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud–

PENUTUP

Amalan solat sunat witir haruslah sering diamalkan kerana ganjaran yang dinanti amatlah besar daripada solat sunat yang lain. Solat ini juga merupakan amalan yang tidak pernah Rasulullah SAW tinggalkan pada setiap malam.

Solat witir ini juga merupakan salah satu wasiat Rasulullah SAW supaya kita mendirikan solat sunat ini sebelum berganjak ke tempat tidur kerana solat ini sangat istimewa kepada umatnya untuk memperolehi syafaat dan disukai Allah SWT.

Terlalu mudah untuk kita sebagai umatnya memasuki syurga tetapi tidak semua yang mampu yang merebut peluang tersebut. Janganlah kita tinggalkan untuk melakukan witir, dirikanlah witir tersebut walaupun sedikit bilangannya agar terus menjadi amalan berterusan dalam kehidupan seharian.
Tags