KTMB DAN LEGOLAND MALAYSIA METERAI KERJASAMA STRATEGIK PERKUKUH PELANCONGAN REL DAN MOBILITI KE KORIDOR SELATAN l Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama LEGOLAND® Malaysia Resort dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik bagi memperluaskan ekosistem pelancongan rel, meningkatkan mobiliti rakyat serta merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan domestik dan antarabangsa di koridor selatan negara. Kerjasama strategik ini merupakan satu sinergi yang sangat baik dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memilih perkhidmatan ETS sebagai mod perjalanan utama ke Johor, khususnya bagi tujuan pelancongan dan percutian keluarga.
Melalui kolaborasi ini, KTMB bersama LEGOLAND Malaysia Resort menawarkan diskaun khas sebanyak 35% bagi pembelian tiket masuk ke LEGOLAND kepada pengguna ETS melibatkan semua sektor perjalanan. Tawaran ini dibuka bagi tempoh pembelian hingga 21 November 2026 untuk tiket Harian LEGOLAND Malaysia, sekali gus meningkatkan pengalaman perjalanan dan destinasi secara menyeluruh bagi keluarga yang melancong ke Johor.
Melalui rangkaian ETS yang semakin meluas, ketersambungan perjalanan dari utara, Lembah Klang dan negeri-negeri lain ke Johor kini menjadi lebih mudah, selesa dan praktikal. Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Road to Rail yang menggalakkan peralihan penggunaan daripada jalan raya kepada pengangkutan rel yang lebih selamat, cepat, selesa dan mampan.
Peningkatan ini turut didorong oleh pertumbuhan sektor pelancongan serta permintaan yang semakin tinggi terhadap LEGOLAND Malaysia Resort yang kekal sebagai destinasi pelancongan keluarga utama di rantau ini. Kerjasama ini dijangka terus merancakkan aliran pelancong domestik dan antarabangsa ke selatan tanah air melalui pengalaman perjalanan yang lebih mudah, lancar dan mesra keluarga.
KTMB turut mengalu-alukan kerjasama dengan lebih banyak pemain industri pelancongan, pengusaha tarikan pelancongan dan rakan strategik, khususnya di Johor, bagi mempromosikan destinasi menarik yang berada dalam rangkaian stesen KTMB di seluruh negara, sekali gus memperkukuh ekosistem pelancongan rel negara.
.png)
