Teleport, Syarikat Logistik AirAsia, Memperluas Perkhidmatan ke 70 Bandar di Asia Tenggara

Kasih Juju

Teleport, syarikat teknologi logistik milik AirAsia telah melengkapkan pelancaran perkhidmatan penghantarannya ke 70 bandar di seluruh Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina dalam masa 30 hari.

Pengembangan ini membolehkan Teleport menawarkan perkhidmatan penghantaran daripada para peniaga dan syarikat di bandar-bandar ini kepada pelanggan mereka dalam masa satu jam sahaja. Teleport boleh menghantar apa sahaja, daripada makanan, barangan runcit, dokumen, bunga-bungaan dan juga dobi!

Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak berkata: “Misi kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran mudah, cepat dan berpatutan untuk semua orang. Kami juga memberi jaminan untuk melengkapkan penghantaran dalam masa satu jam, dan berharap langkah ini dapat membantu semua peniaga dan perniagaan tempatan. Selain itu, kami juga akan menawarkan perkhidmatan penghantaran ekspres 24 jam antara bandar dan penghantaran rentas sempadan tidak lama lagi.

Menjelang tahun hadapan, matlamat kami adalah untuk membolehkan anda menghantar apa sahaja dengan serta-merta ke destinasi AirAsia dengan hanya satu klik.” 

Di Malaysia, perkhidmatan Teleport kini tersedia di Lembah Klang, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Labuan, Kuching, Miri, Bintulu, Sibu, Alor Setar, Ipoh, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Langkawi, Pulau Pinang dan Melaka.

Teleport kini berada di 17 bandar di sekitar Malaysia

Untuk mendaftar dengan Teleport, layari http://teleport.asia/deliverforme atau hubungi citylaunch@teleport.asia untuk maklumat lebih lanjut.